Monday, June 1

Coretan buatmu, Muhammad Syazwan bin Mohamad Zan.

Bismillahirrahmanirrahim...
Saya menaip coretan ni sebab saya rindu adik saya. Saya tahu dia sedang lihat apa yang kakak dia buat. Terima kasih Wan temankan aku. :')

Aku berada di Bumi Kenyalang,
bukan untuk bersuka ria
tapi untuk menuntut ilmu yang luas di muka bumi Allah ini.
Bila aku bersama-sama dengan kawan
dan menyiapkan kerja yang banyak,
aku dapat melupakan kau.
Pabila aku bangun tidur, mandi dan solat,
aku teringat kau.

Ya, hati ini rindu dan masih tak percaya yang kau sudah tiada.
Bila mama ayah telefon aku, mereka asyik bertanya aku, "Nana.. okay?"
Soalan itu seolah-olah diawang-awangan.
Aku selalu mengatakan "Okay." tapi sebaliknya hanya Allah yang tahu perasaan diri ini.

Jika aku ada masa lapang, aku melukis potretmu,
Ataupun menelefon mama.
Bila mulut ini berbicara, mulut ini ringan sahaja ingin bertanya khabar tentang kau,
tapi bila aku sedar di dunia nyata, soalan itu tergantung untuk bertanya.
Hingga sekarang orang bercerita tentang kau termasuk aku.
Aku tahu kau orangnya baik, kelakar, suka bergurau tapi kenapa begitu cepat kau meninggalkan kami?
MasyaAllah, rindu dekat kau.....

Bulan Ramadhan semakin tiba,
setiap tahun berpuasa bersama-sama,
kini hanya berempat.
Kalau puasa, waktu sahurlah kau paling liat nak bangun,
tapi bila giliran aku kejutkan kau, kau bangun.
Dan selepas ni, siapa pula yang aku nak kejutkan?

Di saat kau meninggalkan aku,
Aku hanya ada memori yang terindah.
Sehingga kini aku ralat tak dapat berbual dengan kau,
tidak ketawa dengan kau,.
Tetapi sebelum kau menghadap Ilahi,
aku hanya dapat memegang tangan kau,
dapat melihat wajah kau yang kaku,
dapat berbisik di telinga kau,
dan akhirnya aku dapat mengucup pipimu dan hidungmu.

Kini tiada lagi yang cari gaduh dengan aku,
tiada lagi yang atur cara pakaian aku,
tiada lagi yang bagi pendapat,
tiada lagi tempat aku nak bertanya.
Ya Allah... kuatkan hambamu ini.

Tiada lagi kata yang aku mahu ungkapkan,
hanya iringan doa rindu saja yang aku ungkapkan.
Aku tahu di saat aku menaip coretan ini,
kau ada bersebelahan dengan aku.
In Syaa Allah, selepas urusan di sini selesai aku akan balik.
Aku akan menziarahi kau.
Tunggu kepulangan aku ya? :)

Al-Fatihah.

Coretan,
DAYANAMDZAN

(tamat menaip pada pukul 2200, menaip dalam keadaan jari yang bergetar-getar. Air mata mengalir kerana kerinduan tidak dapat diungkapkan.)